Saturday, March 19, 2011

Hayati pengorbanan Siti Hajar laksana amanah Allah

Seringkali kita dipaparkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. apabila menjelang kedatangan Eidul Adha. Peristiwa yang menggambarkan keimanan yang kental dan keyakinan yang jitu, ketaatan dan pengorbanaan diantara seorang ayah dan anak lelakinya terhadap perintah Allah s.w.t merupakan suatu kisah teladan yang unggul bagi panduan kita mengharungi kehidupan di dunia ini.

Sayangnya kita jarang sekali mendengar ataupun terlalu sedikit saja para penceramah yang telah menyentuh dengan huraian yang mendalam peranan dan pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu dalam peristiwa tersebut. Seharusnya kita hayati bagaimana ketabahan dan ketaatan seorang isteri bersama anak yang masih kecil ditinggalkan oleh suaminya di suatu lembah padang pasir yang kering kontang tanpa penduduk semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah s.w.t.

Sesungguhnya jika kita mengambil iktibar dari peristiwa tersebut di dalam konteks kegiatan dakwah haraki, peranan dan tanggungjawab Muslimat adalah amat besar serta tidaklah mudah tanpa pergantungan kepada pertolongan dari Allah s.w.t. Peranan, sikap dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh Siti Hajar itu sudah cukup untuk kita teladani. Tanpa keimanan yang penuh ikhlas, keyakinan yang jitu, kesetiaan kepada suami, dapat diragui bahawa Siti Hajar berjaya mengharungi segala cabaran yang terbentang di depan matanya.

Sebenarnya dari teladan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar itu peranan besar Muslimat adalah sebagai pembantu dan pelengkap terhadap amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam bukannya pesaing.

Firman Allah s.w.t , pada surah at-Taubah, ayat 71 yang bermaksud:“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

No comments:

Post a Comment